LOVE Initiative for Earth (LIFE) – merupakan sebuah inisiatif kerja amal yang ditubuhkan oleh Global Peace Mission (GPM) Malaysia pada tahun 2020 dengan matlamat memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memelihara alam sekitar. Projek LIFE yang terakhir telah dilaksanakan pada tahun 2021, di mana pihak GPM menjalankan aktiviti pembersihan di beberapa buah negeri melibatkan kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) seperti Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Sabah dan Melaka.

Namun begitu, selepas pelaksanaan tersebut, projek LIFE dilihat semakin menyepi dan tidak lagi dilaksanakan secara aktif. Setelah hampir empat tahun berlalu, usaha ini akhirnya dihidupkan semula pada 12 Februari 2026. Inisiatif ini diambil oleh Fatin Fatihah yang menjadikan projek LIFE sebagai projek akhir latihan industri (internship), di samping mengembalikan semangat kesukarelawanan dengan turun ke lapangan bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan alam semula jadi.
Kawasan hijau yang nyaman dan damai sering kali menjadi tempat pelarian para pendaki serta mereka yang mendambakan ketenangan daripada kesibukan kehidupan seharian. Keindahan alam yang dihiasi dengan hutan menghijau, udara segar serta aliran sungai yang jernih mampu memberikan ketenteraman kepada sesiapa sahaja yang mengunjunginya. Namun begitu, keindahan tersebut semakin hari semakin tercemar akibat sikap segelintir manusia yang tidak bertanggungjawab.
Tangan-tangan rakus yang tidak menghargai bumi sering meninggalkan sampah sarap, merosakkan flora dan fauna serta mencemarkan kawasan yang sepatutnya dipelihara bersama. Berikutan isu tersebut, Sungai Pisang, Gombak telah dipilih sebagai lokasi utama bagi pelaksanaan projek LIFE kali ini.
Ketika tinjauan dilakukan di kawasan lapangan sebelum memasuki Sungai Pisang, keadaan persekitaran amat membimbangkan. Sampah seperti botol minuman, plastik makanan, kertas-kertas terpakai dan pelbagai jenis bahan buangan dilihat bersepah merata-rata sehingga kawasan tersebut seolah-olah menjadi tempat pembuangan sampah terbuka.
Tambahan pula, notis penutupan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Selangor turut menjelaskan bahawa isu pembuangan sampah yang tidak terkawal menjadi punca utama penutupan kawasan sungai tersebut. Justeru, pemilihan lokasi ini bagi menjalankan aktiviti pembersihan dianggap sebagai satu langkah yang tepat dalam usaha memulihkan kembali keindahan alam di kawasan berkenaan.

Walaupun pasukan yang terlibat tidak mempunyai anggota yang ramai, operasi pembersihan yang dijalankan selama kira-kira dua hingga tiga jam telah berjaya mengumpulkan sebanyak 27 beg plastik sampah. Hasil tersebut amat memberangsangkan dan memberikan kepuasan kepada para sukarelawan yang terlibat. Usaha kecil ini sekurang-kurangnya menjadi bukti bahawa manusia masih mampu menunaikan amanah mereka sebagai khalifah dalam menjaga bumi ciptaan Allah S.W.T.
Firman Allah S.W.T dalam Al-Quran:
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَـٰٓئِكَةِ إِنِّى جَاعِلٌۭ فِى ٱلْأَرْضِ خَلِيفَةًۭ ۖ قَالُوٓا۟ أَتَجْعَلُ فِيهَا مَن يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ ۖ قَالَ إِنِّىٓ أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ
Yang bermaksud:
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya: Adakah Engkau hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan dan menumpahkan darah, sedangkan kami sentiasa bertasbih memuji-Mu dan mensucikan-Mu? Allah berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.” (Surah Al-Baqarah: 30)
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa manusia telah diamanahkan oleh Allah S.W.T sebagai khalifah di muka bumi, iaitu pemelihara dan penjaga alam. Oleh itu, setiap individu seharusnya memainkan peranan dalam memastikan kebersihan serta kelestarian alam sekitar terus terpelihara.
Sikap menghargai alam, mengamalkan prinsip “bawa turun semula sampah yang dibawa naik” ketika mendaki atau berkelah, serta memupuk kesedaran terhadap penjagaan alam sejak usia muda harus menjadi budaya dalam masyarakat. Pendidikan dan kesedaran yang berterusan amat penting bagi memastikan generasi akan datang terus menghargai bumi yang diwarisi.

Sesungguhnya alam merupakan amanah daripada Allah S.W.T. Keindahannya bukan sekadar untuk dinikmati, tetapi untuk dijaga dan dipelihara sebaiknya. Jika manusia benar-benar memahami tanggungjawab mereka sebagai khalifah, maka bumi ini akan terus kekal indah, bersih dan sejahtera untuk semua makhluk yang hidup di dalamnya.
