Perang yang berlarutan antara Iran dan Israel yang kini memasuki hari ke-13, masih belum memperlihat tanda-tanda mereda, meskipun ada usaha diplomatik dari Amerika Syarikat dan negara-negara Arab termasuk Qatar untuk menghentikan konflik. Serangan berterusan oleh Israel telah meningkatkan ketegangan. Solidariti dunia terhadap Iran menjadi isu perdebatan, terutamanya dalam kalangan masyarakat Muslim seperti di Malaysia, yang mempersoal sokongan mutlak kepada Iran kerana konflik mazhab di Syria semasa era al-Assad. Namun, realiti geopolitik Timur Tengah menunjukkan bahawa konflik ini lebih bersifat perang politik antara kuasa besar, bukan semata-mata konflik mazhab yang sengaja dicatur oleh pihak luar.
Iran dan Sokongan kepada Pejuang Palestin
Iran adalah pendokong utama gerakan pembebasan Palestin, khususnya Hamas, dari segi ideologi, material, dan ketenteraan. Pasukan Quds, unit elit dalam Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), memainkan peranan penting dalam menyediakan latihan ketenteraan kepada pejuang Hamas. Malah, sebilangan pejuang ini dilatih secara langsung di Iran sebelum serangan berskala besar pada 7 Oktober 2023, yang dikenali sebagai Operasi Taufan Al-Aqsa.
Komitmen Iran terhadap perjuangan rakyat Palestin terbukti melalui kenyataan pemimpin tertingginya. Seyyed Yahya Rahim Safavi, penasihat Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei, dengan tegas menyatakan sokongan penuh Iran kepada operasi tersebut. Dalam Persidangan Antarabangsa Ke-6 Solidariti dengan Kanak-kanak dan Remaja Palestin yang diadakan di Pusat Kebudayaan Arasbaran, beliau berkata:
“Kami menyatakan sokongan kami terhadap Operasi Taufan Al-Aqsa dan yakin bahawa Barisan Penentangan juga akan menyokong isu ini.”
Pernyataan ini bukan sahaja mengukuhkan komitmen Iran dalam perjuangan rakyat Palestin menghadapi kezaliman Israel, tetapi juga menekankan hubungan strategik yang kukuh antara Iran dan Hamas sebagai asas sokongan tersebut.
Peranan Iran dalam Perang Proksi
Selain Hamas, Iran juga merupakan penyokong utama Hizbullah, sebuah gerakan pejuang yang berpusat di Lubnan dan proksi penting Iran di Timur Tengah. Pada Oktober 2024, berikutan Operasi Taufan al-Aqsa oleh Hamas, Hizbullah turut terlibat dalam konflik berskala besar dengan Israel di sempadan Lubnan. Iran memberikan sokongan kewangan, ketenteraan, dan logistik kepada Hizbullah sebagai tanda solidariti dan kesinambungan perjuangan menentang penjajahan Israel.
Konflik ini telah menyaksikan pelbagai perkembangan, termasuk laporan mengenai gugurnya beberapa pimpinan utama, namun ini tidak melemahkan komitmen Iran untuk terus menyokong Hizbullah dan gerakan penentangan lain di rantau ini. Iran menegaskan bahawa perjuangan mereka adalah sebahagian daripada usaha geopolitik yang lebih besar untuk menentang hegemoni Barat dan Zionis.
Perang Politik, Bukan Perang Mazhab
Satu aspek penting yang perlu difahami adalah konflik yang berlaku di Timur Tengah, termasuk di Syria, bukanlah semata-mata perang mazhab Sunni versus Syiah seperti yang sering digambarkan oleh media Barat atau pihak berkepentingan. Konflik di Syria lebih merupakan isu ketidakadilan dan pemerintahan autoritarian oleh rejim Presiden Bashar al-Assad yang mendapat sokongan Iran atas dasar geopolitik bukan semata-mata kerana sentimen mazhab.
Naratif konflik sektarian ini sengaja dicanangkan oleh pihak luar, khususnya kuasa Barat untuk melemahkan perpaduan umat Islam, dan menjustifikasi campur tangan mereka. Amerika Syarikat dan sekutunya berusaha mengekalkan pengaruhnya di Timur Tengah dengan menyokong Israel sebagai sekutu utama. Visi mereka termasuk mewujudkan “Israel Raya” yang merangkumi sebahagian besar negara-negara Arab, sekaligus mengekalkan dominasi politik dan ekonomi di rantau ini.
Visi “Israel Raya” dan Pengaruh Kuasa Besar Barat
Visi “Israel Raya” merujuk kepada aspirasi Theodor Herzl, pengasas gerakan Zionis untuk memperluas wilayah Israel sehingga meliputi negara-negara Arab utama seperti Mesir, Lubnan, Syria, Jordan, dan Arab Saudi. Agenda ini jelas melalui tindakan Israel yang berterusan memperluas kawalan ke atas wilayah Palestin dan usaha diplomatiknya menunjukkan keinginan untuk mengekalkan dan memperluas pengaruh di rantau ini.
Amerika Syarikat (AS) sebagai kuasa besar Barat dan sekutu utama Israel, memainkan peranan penting dalam mengekalkan dominasi Israel di Timur Tengah. Dengan memberikan sokongan ketenteraan dan diplomatik yang besar, AS memastikan Israel kekal sebagai kuasa dominan yang mampu mengawal wilayah-wilayah strategik. Strategi ini juga bertujuan untuk menghalang kebangkitan kuasa lain seperti Iran yang menentang pengaruh Barat di rantau tersebut.
Implikasi Geopolitik dan Peranan Kuasa Besar
Konflik Iran-Israel yang semakin memuncak bukan sahaja melibatkan dua negara, malah juga pelbagai aktor dan kepentingan di rantimur Tengah. Amerika Syarikat (AS) terus memberikan sokongan ketenteraan dan diplomatik yang besar kepada Israel, termasuk penghantaran senjata canggih, dan terkini melibatkan serangan AS ke atas tiga kawasan program nuklear Iran iaitu Fordo, Natanz, dan Isfahan yang dianggap ancaman besar buat Israel.
Gugurnya tokoh-tokoh penting seperti Ismail Haniyeh, pemimpin Hamas, dan laporan tentang gugurnya Hassan Nasrallah, pemimpin Hizbullah, serta serangan balas Israel ke atas sasaran IRGC menunjukkan bahawa konflik ini berisiko berkembang menjadi peperangan yang lebih besar dan melibatkan lebih banyak pihak yang berkepentingan.
Pada masa yang sama, konflik ini turut mencetuskan kesan global yang serius, terutamanya dalam bentuk kenaikan harga minyak serta ketidakstabilan ekonomi dan sosial di pelbagai negara. Naratif ini jelas untuk difahami melalui keputusan yang diambil oleh Iran untuk mengancam penutupan Selat Hormuz. Penutupan selat ini, yang merupakan laluan perkapalan terpenting bagi perdagangan minyak mentah dunia, berisiko memberi impak besar kepada bekalan dan harga minyak global, seterusnya menggugat kestabilan ekonomi antarabangsa, termasuk Malaysia.
Kesimpulan
Hubungan antara Iran, Hamas, dan Hizbullah melalui dana, senjata, latihan ketenteraan, dan perancangan operasi, adalah fakta jelas yang menunjukkan sokongan Iran terhadap perjuangan Palestin. Hal ini sekaligus membantu untuk mengimbangi neraca kefahaman dalam konflik Iran dan Israel kini. Perjalanan dan gugurnya tokoh-tokoh penting seperti Ismail Haniyeh dan Hassan Nasrallah mengukuhkan lagi bukti hubungan strategik ini.
Walaupun terdapat kontroversi dalam solidariti dunia Muslim terhadap Iran, terutamanya disebabkan konflik Syria, peranan Iran sebagai penyokong penting perjuangan Palestin dan Lubnan tidak dapat dinafikan. Namun, konflik ini harus difahami sebagai perang politik dan geopolitik antara kuasa besar, bukan semata-mata konflik mazhab yang sengaja dicorak oleh pihak luar untuk kepentingan tertentu.
Penyelesaian konflik ini memerlukan pendekatan diplomatik yang matang dari masyarakat antarabangsa, dengan menumpukan kepada penyelesaian damai yang adil dan menghormati hak semua pihak. Solidariti yang berasaskan prinsip keadilan sejagat akan lebih membantu membawa keamanan dan kestabilan di Timur Tengah yang sangat diperlukan oleh rakyat di rantau tersebut.
Penulis: READ