Ramadan di Syria: Kisah melalui lensa seorang juruvideo

By: Research Development and Advocacy

 

“Keadaan rumah tersebut sangat usang, kalau biasa di kem pelarian, kita tahu keadaannya, kita boleh bagi bantuan tapi kalau di tempat sedemikian, tersorok macamtu, siapa yang akan bantu?”, kata seorang petugas kemanusiaan Malaysia for Syria yang dikenali sebagai Abdul Rahman.

Abdul Rahman merupakan seorang petugas kemanusiaan yang ditugaskan untuk berjuang di Misi Ramadan Al Habeeb yang ke-10. Katanya, misi Ramadan ini dinamakan Ramadan Al Habeeb, merujuk kepada bulan yang dicintai. Misi Ramadan ini dijalankan pada setiap tahun bagi membantu orang yang memerlukan terutama pelarian dan asnaf untuk bergembira di bulan puasa ini.

Mengimbau semula kenangannya dalam misi tersebut, menjalani ibadah berpuasa selama dua minggu di negara orang iaitu Turkiye dan Syria benar-benar memilukan hatinya. Setibanya mereka di Syria, mereka telah memasuki kawasan Azaz dan juga Idlib bagi menyampaikan bantuan Ramadan kepada pelarian Syria di kawasan tersebut. Dalam misi tersebut, antara bantuan yang diagihkan adalah infak roti, kotak makanan, set iftar dan sumbangan duit raya.

Sebagai seorang juru video, dia bertanggungjawab untuk merakam setiap detik dan masa tentang keadaan Ramadan di kawasan pelarian. Meskipun dia telah berhadapan dengan pelbagai situasi yang memilukan, namun, hatinya menjadi lebih berat apabila dia bertemu dengan seorang ibu tunggal yang menetap di sebuah bangunan tinggalan yang terletak di Azaz. Walaupun berbumbungkan konkrit, namun keadaan rumah yang daif itu hanya mempunyai satu ruang kecil dan di ruangan itulah tempat mereka masak, tidur, dan melakukan sebarang aktiviti harian. Kata Abdul Rahman, hatinya tersentuh apabila menemu bual wanita itu dan mengetahui bahawa ruangan yang kecil dan sempit itu menempatkan 10 anak-anak kecilnya. Kehilangan suami dalam peperangan menjadikan kehidupan wanita ini lebih sukar untuk mencari sumber pendapatan.

“Ini kali pertama saya dapat bantuan. Terima kasih banyak ya kerana menjumpai kami. Sejujurnya, kami sendiri tidak tahu untuk pergi ke mana bagi mendapatkan bantuan. Kami tidak berjiran dan kami juga tidak bekerja. Untuk mencari kem pelarian juga kami tidak berupaya. Terima kasih sekali lagi kerana menjumpai kami”, luah wanita tersebut.

Melalui pengalaman ini, Abdul Rahman menceritakan bahawa tidak semua pelarian di Syria yang menetap di kem pelarian. Ramai pelarian yang kisahnya masih belum dijumpai, dan mereka juga tergolong dalam kumpulan yang memerlukan. Sejak dari itu, kisah-kisah sebegini telah didokumentasikan oleh tim Malaysia for Syria untuk rujukan orang ramai. Semoga kisah sebegini dapat dihayati dan misi Ramadan Al Habeeb dapat diteruskan bagi membantu lebih ramai orang yang memerlukan.

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Email

Latest News

Misi Kemanusiaan ke Syria: Menyusuri Harapan di Tengah Runtuhan

SELEPAS hampir 54 tahun dibelenggu pemerintahan kuku besi regim Assad dan parti Ba’ath, rakyat Syria akhirnya meraikan kemenangan dengan memulakan...

Sehingga Bilakah Perlu Kita Bantu Syria?

Bahagian IV : Menyantuni Keperluan Kemanusiaan, Ibrah dan Refleksi. Saat penulis menyoroti fakta dan data terkini konflik Syria yang dikeluarkan...

Ops Ihsan Extends Helping Hand to Gaza with Third Humanitarian Aid Shipment

By: GPM Humanitarian Affairs Department   In a remarkable display of solidarity, Malaysia has successfully dispatched its third air freight...