KUALA LUMPUR, 15 September – Global Peace Mission Malaysia (GPM) melaksanakan misi kemanusiaan ke Nepal bagi menilai keperluan mangsa bencana selain menyalurkan bantuan awal kepada penduduk yang terjejas.
Ketua Jabatan Hal Ehwal Kemanusiaan GPM, Nik Muhammad Nik Yusoff berkata, misi itu dilaksanakan susulan bencana yang memberi kesan kepada ribuan penduduk di negara berkenaan.
“Kita pergi ke lapangan dan berhubung dengan pegawai daerah atau pusat pengumpulan barang-barang bantuan. Kita buat penilaian melalui temu bual dengan pegawai daerah, selain berjumpa mangsa yang terkesan untuk mengetahui keperluan mereka,” katanya.

GPM turut mendapatkan maklumat daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia yang berada di Nepal serta Duta Malaysia di negara berkenaan bagi mengenal pasti keperluan sebenar mangsa.
Menurut beliau, bantuan yang disalurkan ketika ini lebih tertumpu kepada keperluan awal dan bantuan sekali agihan, manakala keperluan jangka panjang termasuk tempat perlindungan dan kediaman masih dalam penilaian.
“Keberkesanan misi akan diukur berdasarkan impak bantuan yang disalurkan kepada masyarakat serta maklum balas daripada keluarga yang terjejas,” katanya. – Berita RTM