“Luluh hati apabila melihat ada ibu bapa yang sanggup membakar pakaian dan buku anak-anak mereka.”
Malaysia for Syria merupakan antara Badan Kemanusiaan Malaysia yang terawal mengikuti isu kemanusiaan yang dialami oleh rakyat Syria yang menjadi pelarian di tanah air mereka sendiri. Saban tahun, Malaysia for Syria telah menjadi perantara bagi rakyat Malaysia yang turut prihatin akan kesengsaraan dan kezaliman yang terpaksa dihadapi oleh pelarian Syria di negara mereka sendiri. Telah masuk tahun ke-8 Malaysia for Syria masih kekal konsisten dalam melaksanakan amanah dan tugas hakiki sebagai aktivis dan petugas kemanusiaan di bumi Syria, Lubnan, Turki, Jordan malah di Malaysia.
Sementalah itu, terlalu banyak yang hendak dikongsikan malah para petugas Badan Kemanusiaan Malaysia for Syria sempat mendedahkan rahsia dan pengalaman yang telah dilalui sepanjang melaksanakan misi kemanusiaan untuk Syria. Adakah anda sendiri pasti bahawa pelarian Syria ini memang benar-benar kesusahan atau sekadar propaganda media untuk menutup mata rakyat Malaysia terhadap urusan negara sendiri. Salah seorang aktivis Malaysia for Syria telah berkongsi pengalaman ketika bertemu beberapa buah keluarga pelarian di kem-kem pelarian Syria yang terdapat di Lubnan dan Syria.

Luluh hati apabila melihat ada ibu bapa yang sanggup membakar pakaian dan buku anak-anak mereka. Menurut petugas MFS lagi, ini bukan kehendak mereka. Bukan berniat untuk menghalang anak-anak mereka daripada terus belajar dan mendapatkan pendidikan namun kejadian ini hanya berlaku sekali dalam setahun iaitu pada musim sejuk dek kerana ketiada bahan bakar bagi memanaskan badan setiap keluarga pelarian Syria di kem-kem pelarian di Syria dan Lubnan. Suhu musim sejuk yang mencecah -7 darjah celsius atau lebih yang hanya dialami pada musim sejuk pada setiap tahun di Syria dan Lubnan terutamanya mendatangkan banyak kesan buruk. Malah situasi seperti ini juga mampu meragut lebih ratusan nyawa pada musim sejuk yang membeku. Jun 2019 dicatakan sejumlah lebih 5.6 juta orang pelarian Syria di serata dunia. Angka ini hanya merupakan jumlah pelarian Syria yang berdaftar dan telah direkodkan, walau hakikat kebenarannya bilangan pelarian Syria dijangka meningkat setiap tahun, dengan anggaran seramai sekurang-kurangnya 5,000 penduduk Syria yang terpaksa meninggalkan negara mereka dan lebih 6.5 juta penduduk Syria kehilangan tempat tinggal tambahan pula kejadian letupan yang berlaku di bandar Beirut, Lubnan bulan lalu.