
“Pada asalnya kami merancang untuk hanya menghantar satu sahaja kontena..”
SHAH ALAM: Malaysia for Syria bersama beberapa buah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia seperti Peduli Insan, Cinta Syria Malaysia, Muslim Volunteer Malaysia, Haluan Malaysia, HUDA Malaysia, MyFundAction, Global Peace Mission Malaysia dan Rizq-Ar-Rahman telah mengambil inisiatif dengan mengusahakan penghantaran kontena musim sejuk buat pelarian Syria di Lubnan. Malaysia for Syria dalam masa terdekat bakal turun ke lapangan bagi Misi Kemanusiaan Musim Sejuk untuk Syria yang telah 9 tahun berturut-turut lamanya melaksanakan misi bantuan kecemasan buat pelarian-pelarian Syria yang terdesak memerlukan.
Eksekutif Pembangunan Projek Malaysia for Syria, Salman Yusop berkata, bantuan segera buat pelarian Syria pada kali ini dihantar dalam bentuk kontena yang berisikan sumbangan pakaian tebal musim sejuk dan makanan kering yang telah didermakan oleh rakyat Malaysia. Menurutnya lagi, sehingga kini telah masuk tahun ke-9 Malaysia for Syria bertindak sebagai petugas kemanusiaan bagi membantu pelarian Syria yang memerlukan.
“Pada asalnya kami merancang untuk hanya menghantar satu sahaja kontena ke Lubnan bagi membantu pelarian Syria yang sedang berdepan dengan musim sejuk, namun disebabkan sambutan oleh caknanya rakyat Malaysia yang sangat memberangsangkan, kami telah menerima begitu banyak sumbangan pakaian tebal, tuala wanita, lampin bayi, selimut tebal serta pelbagai jenis makanan kering khas buat pelarian Syria.,” – kata Fareezah Bahar yang merupakan Eksekutif Senior Perhubungan Awam di Malaysia for Syria.
“3 buah kontena telah terisi dengan anggaran sebanyak 97,500 helai pakaian tebal musim sejuk, 500 pasang kasut but kalis air, lampin bayi, tuala wanita dan sebuah lagi kontena yang telah dimuatkan dengan lebih 1,300 kotak pelbagai jenis makanan kering seperti teh, biskut, mi segera, bijirin campuran dan puri tomato. Keempat-empat kontena ini sudah dalam perjalanan dari pelabuhan Klang, Malaysia ke pelabuhan Beirut, Lubnan dan bakal sedia untuk diagihkan kepada pelarian-pelarian,” – katanya lagi ketika ditemubual oleh wartawan TV3 baru-baru ini.

Seramai 150 sukarelawan telah dibahagikan kedatangan mereka mengikut hari dan keperluan sepanjang 3 minggu proses pengasingan, pemilihan pakaian tebal terpakai serta kemasukan kotak-kotak tersebut ke dalam keempat-empat Kontena Misi Musim Sejuk untuk Syria dijalankan. Kempen ini dijalankan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan penularan jangkitan penyakit Covid-19 yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Artis dan juga selebriti seperti Farah Fauzana, Dahlia Shazwan, Siti Hawa dan juga Fedtri Yahya juga turut hadir bagi memberi sokongan serta membantu secara sukarela di lapangan dan melalui sebaran di media sosial mereka. Sesungguhnya usaha giat ini tidak akan seberjaya ini tanpa bantuan dan sokongan daripada semua pihak yang telah terlibat secara langsung atau tidak.

Sementara itu, Amirul Asraf berkata, beliau telah membuat pengambilan pakaian tebal musim sejuk di 9 kawasan di Wilayah Persekutuan, Selangor dan Kuala Lumpur kerana ramai penderma yang tidak dapat menghantar pakaian yang ingin mereka dermakan ke rumah gudang yang bertempat di Shah Alam disebabkan oleh larangan pergerakan merentas daerah dan negeri. Antara 9 kawasan tersebut adalah di Damansara Damai, Damansara Utama, Mont Kiara, Kajang, Putrajaya, Jalan Semarak, Bangsar dan seterusnya di Wangsa Maju. Beberapa buah syarikat pakaian terpakai (bundle thrift shop) di Kuala Lumpur dan Selangor juga telah menyumbangkan ratusan helai pakaian tebal terpakai malah yang masih belum dipakai melalui Malaysia for Syria untuk memberikan keselesaan kepada pelarian Syria yang sedang menghadapi musim sejuk.
Jutaan terima kasih dan penghargaan juga Malaysia for Syria ucapkan buat para penderma yang telah setia memberikan sokongan serta berkongsi rezeki berbentuk wang tunai yang bakal dimanfaatkan oleh lebih 100,000 orang Syria berstatus pelarian di Turki, Syria dan Lubnan. Usaha dan ikhtiar ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban pelarian Syria yang terpaksa menghadapi musim sejuk dengan keadaan yang serba tidak ada.



Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kempen-kempen yang sedang dijalankan oleh Malaysia for Syria, layari www.infaksyria.com. sekarang untuk melaksanakan 2.5% zakat daripada harta pendapatan anda sekarang. Moga setiap titisan keikhlasan anda, Allah terima dan memberkatinya. InshaaAllah.
Salam Cinta Merentasi Sempadan,
Rohaidiana binti Rosly,
Eksekutif Konten Digital MFS (Malaysia for Syria).