Serangan Amerika Syarikat ke atas Houthi: Harga Membela Gaza
Serangan udara Amerika Syarikat (AS) ke atas Houthi di Yaman merupakan sebahagian daripada respon terhadap ancaman kumpulan itu terhadap kapal-kapal milik AS yang beroperasi di sepanjang Laut Merah. AS mendakwa tindakan ini perlu bagi memastikan keselamatan laluan perkapalan antarabangsa terjaga. Namun, ancaman Houthi tersebut berpunca daripada tindakan sekutu kuat AS, Israel yang bertindak melanggar gencatan senjata yang telah dipersetujui, dan menyekat bantuan masuk kemanusiaan kepada rakyat Gaza sejak 2 Mac yang lalu. Senario ini sekaligus memburukkan lagi krisis kemanusiaan di sana.
Implikasi Geopolitik
Serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas Houthi di Yaman memberi kesan besar terhadap citra politik dan keselamatan Timur Tengah. Tindakan ini berisiko meningkatkan ketegangan, terutama dengan Iran sebagai kuasa signifikan di rantau tersebut. Keadaan semakin meruncing apabila AS secara terbuka mengancam Iran jika Houthi terus menyerang kapal-kapalnya di Laut Merah. Situasi ini jelas merupakan provokasi langsung yang boleh mengeruhkan lagi landskap geopolitik serantau.
Selain itu, serangan demikian juga boleh menjejaskan usaha damai yang sedang diusahakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan beberapa negara Arab bagi menamatkan konflik yang telah berlarutan lebih daripada satu dekad di Yaman.
Hegemoni Amerika Syarikat dan Ketidakstabilan Pengaruh Iran di Timur Tengah
Naratif geopolitik semasa menunjukkan bahawa serangan udara Amerika Syarikat (AS) di Yaman berlaku dalam era ketika AS kian mengukuhkan hegemoninya di Timur Tengah. Hal ini boleh dilihat melalui nakba yang berlaku di Gaza, ketidakstabilan Hezbollah di Lubnan, dan kejatuhan al-Assad di Syria. Tambahan pula, dengan kenaikan Donald Trump sebagai Presiden AS terbaru, Washington semakin agresif dalam memperlihat pengaruh ketenteraannya, khususnya dalam usaha mengekang pengaruh Iran dan proksinya di rantau ini.
Oleh sebab itu, serangan ke atas Yaman dilihat sebagai satu bentuk penguasaan strategik AS untuk melemahkan lagi pengaruh Iran di rantau tersebut. Di samping itu, AS ingin memastikan kebebasan segala laluan masuk di Laut Merah untuk melindungi kepentingan bersama terutama dalam aspek komersial dengan Israel.
Kesan terhadap Situasi Kemanusiaan
Krisis di Yaman sudah pun berada di tahap yang kritikal dengan jutaan rakyat negara itu mengalami kebuluran, kekurangan perubatan, dan kehilangan tempat tinggal akibat peperangan yang berlarutan. Serangan udara yang dilancarkan oleh AS hanya akan meruncingkan keadaan saat ini, terutama bagi penduduk awam yang tidak bersalah, malah menambah penderitaan rakyat Yaman terutama kanak-kanak yang berada pada ambang kematian.
Badan-badan kemanusiaan seperti Amnesty International dan Human Rights Watch telah lama menegaskan bahawa pendekatan ketenteraan hanya akan memburukkan keadaan. Mereka menyeru agar konflik ini diselesaikan melalui perundingan diplomatik yang lebih efektif dan bukannya menerusi penggunaan kekerasan yang berulang kali terbukti gagal mencapai penyelesaian jangka panjang.
Kesimpulan
Intervensi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) di Yaman merupakan satu lagi episod dalam konflik yang semakin kompleks dan sukar dikawal. Meskipun ia dilaksanakan atas alasan keselamatan maritim, implikasi geopolitik dan kemanusiaan yang terhasil daripadanya adalah sangat besar. Serangan ini berpotensi memperburuk hubungan antara kuasa-kuasa serantau dan antarabangsa, selain meningkatkan penderitaan rakyat Yaman yang telah sekian lama menjadi mangsa ketidakstabilan geopolitik.
Tindakan tersebut juga menggambarkan bagaimana hegemoni kuasa veto dunia tersebut terus membentuk dan mengukuhkan pengaruhnya dengan mengekang pengaruh Iran dan proksinya di Timur Tengah. Oleh itu, pendekatan yang lebih diplomatik dan berasaskan kemanusiaan perlu segera diambil bagi mengelakkan pertumpahan darah yang lebih parah pada masa hadapan.
Penulis: READ