Pendekatan Inklusif Syria dengan Amerika Syarikat dan Manfaatnya kepada Syria serta risikonya kepada Palestin.

 

Pendekatan Inklusif Syria dengan Amerika Syarikat dan manfaatnya kepada Syria serta risikonya kepada Palestin.

Pengenalan

Hubungan Syria dan Amerika Syarikat (AS) yang tegang sejak konflik lebih tiga dekad lalu menunjukkan perubahan dramatik. Naratif ini berlaku apabila Arab Saudi dan Turkiye bertindak sebagai mediator dalam mempertemu dua pemimpin tertinggi negara berkenaan, iaitu Presiden interim Syria, Ahmad al-Sharaa dengan Presiden AS, Donald Trump di Arab Saudi pada tanggal 14 Mei 2025. Hasil perjumpaan ini, Trump mengumumkan pemansuhan sekatan ekonomi ke atas Syria dan membuka ruang kerjasama diplomatik. Hal ini menandakan lembaran baharu dalam hubungan bilateral yang berpotensi memberi manfaat besar kepada Syria, namun turut menimbulkan implikasi penting terhadap keamanan Palestin. Artikel ini membincangkan pendekatan inklusif Syria dengan AS dan manfaatnya kepada Syria serta risikonya kepada rakyat Palestin.

 

Pendekatan Inklusif Syria dengan AS

Langkah inklusif bermula dengan pengumuman pemansuhan sekatan ekonomi yang membelenggu Syria sejak Krisis Tehran pada tahun 1979. Dalam lawatan Trump ke Arab Saudi, beliau bertemu dengan Presiden interim Syria, Ahmad al-Sharaa, yang mewakili kerajaan baru selepas penggulingan rejim al-Assad pada Disember 2024. Hal ini merupakan pertemuan yang pertama antara dua pemimpin negara tersebut dalam tempoh beberapa dekad, sejak pertemuan terakhir semasa era rejim Hafez al-Assad bertemu dengan Presiden AS Bill Clinton di Geneva pada tahun 2000. Citra ini juga menandakan perubahan dasar luar AS yang lebih pragmatik.

Dalam pertemuan tersebut, al-Sharaa menunjukkan sikap inklusif terhadap AS demi usaha memulihkan negaranya. Langkah terbesar diambil oleh beliau adalah kesediaannya untuk menjalinkan hubungan normalisasi dengan musuh tradisinya, Israel. Namun, beliau menyedari bahawa  keputusan berat ini bakal berhadapan dengan cabaran yang begitu kompleks, khususnya terhadap kestabilan serantau dan Palestin.

 

Pendekatan inklusif dengan AS membawa beberapa manfaat utama kepada Syria:

Pemulihan Ekonomi: Pemansuhan sekatan membuka peluang menarik pelaburan asing dan membangunkan semula infrastruktur yang musnah akibat perang saudara. Hal ini dijangka mempercepat pemulihan ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Stabiliti Politik dan Keselamatan: Kerjasama keselamatan dengan AS membantu Syria mengawal kumpulan militan seperti ISIS dan al-Qaeda, sekaligus mengurangkan ancaman keganasan dan meningkatkan kestabilan. Selain itu, kerjasama ini membolehkan Syria mengurangkan kebergantungan kepada sekutu utama rejim al-Assad, Rusia dan Iran yang selama ini mempunyai agenda geopolitik tersendiri.

Pengiktirafan Antarabangsa: Kerjasama dengan AS dan pengiktirafan Israel berpotensi membuka pintu kepada Syria untuk kembali ke arena diplomatik antarabangsa dengan kedudukan lebih kukuh.

 

Risiko Pendekatan Syria kepada Palestin

Pendekatan inklusif ini dikhuatiri memberi risiko kepada rakyat Palestin, khususnya di Gaza:

Ketegangan Politik: Ketegangan politik antara Hay’at Tahrir al-Sham (HTS) sebagai kerajaan de facto, dan Hamas dijangka berterusan, malah mungkin bertambah kritikal apabila Syria mula bekerjasama dengan AS, dan menunjukkan kesediaan untuk mengiktiraf negara haram, Israel. Tindakan ini secara langsung membuka ruang kepada hegemoni AS serta memperkukuh kedudukan Israel di Palestin. Malah, langkah berani yang diambil oleh Syria ini berisiko mengundang kecaman global, khususnya para pejuang Palestin yang sekian lama memperjuang kebebasan bumi al-Quds.

Kebimbangan Pengusiran: Pelan AS untuk mengusir rakyat Palestin, khususnya di Gaza dijangka lebih mudah. Walaupun Syria menegaskan tidak bersetuju dengan pengusiran tersebut, tekanan dari AS dan Israel yang pastinya akan mendorong kepada pelaksanaan agenda ini.

Isu Kedaulatan dan Hak Rakyat Palestin: Pendekatan normalisasi pastinya bakal memberi signal jelas kepada keabasahan pendudukan Israel ke atas wilayah Palestin. Hal ini secara langsung menekan rakyat Palestin dalam usaha mereka untuk menentukan nasib sendiri dan mengembalikan semula kedaulatan negara mereka.

 

Kesimpulan

Pendekatan inklusif Syria dengan Amerika Syarikat membuka peluang besar kepada Syria untuk pemulihan ekonomi, kestabilan politik, dan pengiktirafan antarabangsa. Kerjasama ini juga mencerminkan perubahan dinamik geopolitik di Timur Tengah dengan penglibatan Arab Saudi dan Turkiye sebagai perantara.

Namun, Global Peace Mission (GPM) Malaysia melihat bahawa pendekatan ini membawa cabaran besar terutama kesan kepada rakyat Palestin yang menolak sebarang usaha mengorbankan hak mereka. Syria perlu bijak mengimbangi kepentingan nasional dengan komitmen dan solidariti terhadap perjuangan Palestin yang masih belum menemui noktahnya sehingga saat ini.

Penulis, Team Read.

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Email

Latest News

Gaza Tidak Mampu Lagi Dihuni

GAZA 7 Jan, Pengeboman besar-besaran berterusan di tengah Gaza, ketika tentera Israel dan kenderaan berperisainya menolak lebih dalam ke kawasan...

MALAYSIA GESA ICJ PERJELASKAN KEWAJIPAN ISRAEL DI WILAYAH PALESTIN YANG DIDUDUKI

Pada sesi pendengaran awam di ICJ yang berlangsung di The Hague dari 28 April sehingga 2 Mei, Malaysia sekali lagi...

Kontena Musim Sejuk Untuk Syria (Bahagian 11)

– 4 DISEMBER 2020 Selesai sahaja mengisi kontena ke-1, sukarelawan meneruskan misi ini dengan mengisi barang bantuan bagi kontena dua...