
Saban tahun, Malaysia Life Line for Syria (MLLFS) menjalankan Misi Ramadan Al-Habeeb yang merupakan satu projek khas oleh Global Peace Mission. Misi kemanusiaan ini berlangsung pada 23 Mei 2019 sehingga 30 Mei 2019 dan tahun ini telah masuk tahun ketujuh sejak penganjurannya. Misi Ramadan Al-Habeeb dibahagikan kepada dua kumpulan, kumpulan pertama ditempatkan di Turkey dan Syria yang diketuai oleh Ahmad Fahmi, CEO Global Peace Mission serta dibantu oleh Muhammad Jantan, Presiden Muslim Volunteer Malaysia serta 4 sukarelawan yang lain. Manakala kumpulan kedua diketuai oleh Nur Fareezah serta 4 sukarelawan yang lain yang menjalankan misi bantuan kemanusian Ramadan Al-Habeeb di Lubnan.
Objektif utama Ramadan Al-Habeeb adalah untuk menyantuni pelarian Syria. Antara tempat yang dituju di Turki ialah Gaziantep, Killis dan Sanliurfa. Manakala, di Lubnan melibatkan kawasan Iklim Al-Khabroub dan Arsal. Selain itu, misi ini juga diberi keizinan untuk masuk ke dalam Syria pada kali ini. Tujuan Ramadhan Al-Habeeb adalah untuk menganjurkan majlis iftar kepada pelarian-pelarian Syria, menyalurkan bantuan makanan serta bantuan kewangan.
Mainan & vitamin C untuk anak-anak Syria
Antara aktiviti yang telah dilakukan oleh kumpulan pertama yang menjalankan misi di Syria dan Turki adalah berbentuk pengagihan pek iftar, pek makanan, tepung gandum (roti) kepada 2,000 orang anak-anak yatim dan ibu tunggal yang kebanyakkannya telah kehilangan suami. Sukarelawan MLLFS juga turut menziarahi rumah ke rumah pelarian-pelarian Syria bagi mengagihkan bahan bantuan sumbangan dari rakyat Malaysia yang telah disumbangkan. Disamping menyediakan juadah berbuka puasa kepada 50 orang penghuni Dar Assalamah, Tim misi Ramadan Al-Habeeb turut membeli barangan asas dan keperluan makanan untuk Dar Assalamah bagi kegunaan mereka sepanjang Ramadan hingga Syawal.

Di Lubnan, misi dijalankan di dua buah negeri yang melibatkan 10 kem iaitu Kem Iklim, Al-Kharoub, Kem Syamul-Ansr, Kem Qurra, Kem At-Taqwa, Kem Syabab, Kem Yasmin Al-Syam, Kem Al-Dawir dan Kem Al-Nasir. Bantuan yang disalurkan di sana berbentuk pek makanan, duit raya, set iftar, baju raya dan juga bantuan perubatan. Aktiviti lain yang turut dijalankan adalah pembahagiaan goodies, sahur jamaie, lawatan ke taman permainan dan sumbangan baju bayi. Sumbangan terbesar di Lubnan adalah berbentuk pek makanan yang memakan perbelanjaan lebih 15 ribu dolar hasil sumbangan yang telah diterima.

Projek Ramadan Al-Habeeb 7.0 kali ini berjaya mengagihkan bantuan sebanyak RM842,092.20 kepada sasaran yang terdiri daripada pelarian Syria dalam pelbagai bentuk bantuan. Malaysian Life Line For Syria di bawah projek khas kemanusiaan Global Peace Mission disokong hebat dengan kerjasama yang mantap daripada Muslim Volunteer Malaysia dan Bonyan Organisation serta para penyumbang budiman yang lain. Inilah hasil sumbangan anda yang akhirnya berjaya memberi manfaat kepada pelarian yang menjadi mangsa peperangan di Syria. Semoga program ini akan diteruskan pada tahun yang akan datang dengan sokongan dan bantuan semua pihak sehingga kemelut dan krisis di bumi Syam, Syria ini di tamatkan dan akhirnya mencapai kemerdekaan.