KENYATAAN MEDIA GLOBAL PEACE MISSION (GPM) MALAYSIA
22 Julai 2025
GPM DESAK TINDAKAN SEGERA PEMIMPIN DUNIA UNTUK GAZA
Global Peace Mission (GPM) Malaysia mendukung penuh seruan YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, agar pemimpin dunia bertindak segera bagi menghentikan keganasan dan penderitaan rakyat di Gaza.
Situasi di Gaza kini mencapai tahap genting di mana ribuan nyawa tidak berdosa, termasuk kanak-kanak dan wanita, terkorban setiap hari akibat keganasan yang tidak berperikemanusiaan. Gaza bukan sahaja diserang menggunakan bom dan peluru malah kini kebuluran dijadikan sebagai senjata bagi memenuhi dan mencapai objektif Zionis Israel! GPM kesal dengan sikap berdiam diri dunia yang seolah-olah lumpuh dan telah hilang perikemanusiaan di dalam menangani kezaliman yang sedang berlaku di bumi Gaza.
GPM mendesak semua pemimpin dunia, terutama negara-negara berpengaruh seperti Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, dan Liga Arab, untuk:
1. Menggunakan kuasa yang ada untuk menghentikan keganasan dengan serta-merta– Serangan tidak berperikemanusiaan ke atas rakyat awam harus dihentikan sekarang juga.
2. Negara-negara bersempadan dengan Gaza wajib membuka laluan bantuan kemanusiaan tanpa sekatan – Makanan, ubat-ubatan, dan keperluan asas mesti dibenarkan masuk tanpa halangan dengan segera!
3. Pelaku jenayah perang harus diheret ke muka pengadilan.
4. Pendudukan dan penindasan yang berterusan terhadap rakyat Palestin harus diselesaikan secara menyeluruh.
GPM percaya bahawa pada ketika dan waktu yang genting ini, sikap berdiam diri tanpa tindakan yang tegas dan konkrit bukan pilihan sedang nyawa manusia dipertaruhkan saban hari. GPM mengajak semua pihak, termasuk badan-badan kemanusiaan antarabangsa, untuk bersatu dalam tekanan kolektif terhadap pihak yang berkuasa agar menghentikan kekejaman ini. Kami juga menggesa rakyat Malaysia dan masyarakat global untuk terus menyokong usaha bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui saluran yang sah. Setiap sumbangan dan doa amat bermakna dalam meringankan penderitaan mereka.
“Kita tidak boleh berdiam diri. Gaza memanggil kita semua untuk bertindak.”
SYAHRIR AZFAR BIN SALEH
Ketua Pegawai Eksekutif
Global Peace Mission (GPM) Malaysia
www.pedulipalestin.com