Search
Close this search box.

“Susah nak lupakan” – Kenangan pahit manis pelajar praktikal di GPM

By: Amir Firhan Rosli

 

Pada bulan Julai sehingga Oktober 2023 yang lepas, saya berpeluang untuk menjalani latihan industri di Global Peace Mission (GPM) Malaysia. GPM Malaysia ialah Yayasan Amanah yang diperbadankan di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU), Pejabat Perdana Menteri (PMO) Malaysia. GPM ditubuhkan pada 26 September 2001 sebagai tindak balas kepada keperluan kecemasan untuk konflik Afghanistan.

Sejak itu, selain aktif memberikan bantuan kecemasan, GPM telah menyediakan bantuan kemanusiaan bukan sahaja kepada Afghanistan tetapi kepada hampir 30 negara yang memerlukan di seluruh dunia. GPM telah terlibat secara aktif dalam mempromosikan kepentingan memupuk dan mengekalkan keamanan sejagat melalui program kesedaran dan maklumat untuk masyarakat serta mengumpul dana untuk membantu mangsa perang dan bencana alam. GPM juga amat peka dengan isu global yang lain terutama dalam isu Taufan Al-Aqsa di Palestin yang sudah mencecah hampir 130 hari. Terbaru, GPM menunjukkan kepekaan terhadap isu Palestin melalui program mereka yang dikenali sebagai Ops Ihsan. Program ini bertujuan untuk memberi bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin yang terjejas. GPM telah menghantar bantuan seperti makanan, ubat-ubatan, dan peralatan keperluan harian ke kawasan-kawasan yang memerlukan di Palestin. Melalui Ops Ihsan, GPM menunjukkan komitmen mereka dalam menyokong usaha-usaha untuk membantu masyarakat Palestin dan meringankan beban yang mereka hadapi.

Sepanjang tempoh latihan industri disana, saya mempunyai beberapa pengalaman yang pahit dan manis di GPM. Pada permulaan minggu itu, terasa agak janggal dalam menjalani latihan industri sebab mungkin ini pengalaman pertama bekerja dan berinteraksi dengan rakan-rakan di pejabat. Namun apabila sudah mengharungi minggu ke 2 dan seterusnya, saya mula berasa selesa kerana penerimaan rakan-rakan pejabat di GPM cukup menyenangkan. Maka bermulalah fasa-fasa yang perlu saya berikan komitmen terutama di program-program luar.

Namun, setelah beberapa minggu saya di GPM, saya terlibat dengan kemalangan yang cukup tragis bertarikh 12 Ogos 2023. Kereta Saga yang saya tumpang untuk pulang ke Selangor selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) dipandu oleh salah seorang senior GPM terbabas di Jalan Raya Raub-Bentong. Tiga orang terlibat dalam kemalangan tersebut yang mana dua orang cedera parah masing-masing dibahagian bahu kiri iaitu saya dan pemandu cedera di bahu kanan serta paru-paru. Manakala seorang lagi penumpang iaitu adik ipar kepada pemandu tercampak keluar dari kereta dan meninggal dunia di tempat kejadian. Kejadian ini amat memberi kesan kepada diri saya dan trauma hampir seminggu. Saya direhatkan serta dirawat di hospital dan di rumah selama lebih kurang lima minggu selepas kejadian tersebut. Saya berasa amat syukur kerana Allah SWT masih memberikan saya peluang untuk menjadi seorang insan yang lebih baik selepas ini.

 

Setelah hampir lima minggu direhatkan dan dirawat akibat kemalangan itu, saya meneruskan baki latihan industri saya di GPM. Saya terlibat dalam pelbagai projek dan inisiatif yang dijalankan oleh GPM. Beberapa projek menarik yang saya sempat sertai ialah persembahan Flashmob di perkarangan TV Al-Hijrah pada 13 Oktober dan siaran langsung Flashmob TV Al-Hijrah dalam rancangan Dakwah Live pada 18 Oktober. Saya berasa amat teruja atas peluang ini kerana ia merupakan pengalaman pertama saya bersiaran secara “Live” dan ditonton juga keluarga dirumah.

Selama 12 minggu menjalani tempoh latihan industri, saya mendapat tunjuk ajar yang berharga dari mentor-mentor yang berpengalaman di GPM antaranya daripada CEO GPM sendiri Encik Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, dari jabatan saya sendiri iaitu Jabatan Hal-Ehwal Kemanusiaan serta daripada seluruh staf GPM . Mereka memberi saya panduan serta peluang untuk terlibat secara langsung dalam projek-projek yang bermakna. Saya juga dapat melibatkan diri dalam perbincangan dan sesi latihan yang membantu meningkatkan kemahiran saya dalam mengurus projek, berkomunikasi dengan berkesan, dan bekerjasama dalam pasukan.

Pengalaman di GPM Malaysia telah memberi saya perspektif yang lebih mendalam tentang isu-isu global, keperluan kemanusiaan, dan pentingnya kerjasama antarabangsa. Saya sangat bersyukur atas peluang ini dan yakin bahawa pengalaman ini akan memberi kesan positif dalam pembangunan peribadi dan profesional saya pada masa akan datang.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung ataupun secara tidak langsung sepanjang tempoh latihan industri ini. WallahuA’lam.

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Email

Latest News

Gaza is under attack !

By: Nur Izzatul Sofika binti Mohd Yusof   On August 5, 2022, the Gaza Strip became the target of an...

Quran Revelation Day: History and Significance of Nuzul Quran

By: Nur Izzah Sofea binti Johari   Qur’an is one of the great miracles of the Prophet Muhammad SAW which...

“Hipotermia” pada musim sejuk mengakibatkan kematian

“Dalam tempoh dua bulan, sekurang-kurangnya 29 kanak-kanak telah mati dalam kem pelarian atau ketika melarikan diri ke kem di Syria.”...