Pengenalan Konflik Kashmir dan Latar Belakang Pembahagian India-Pakistan
Konflik Kashmir merupakan salah satu konflik terpanjang dan paling kompleks di dunia, berakar umbi daripada pembahagian India British pada Ogos1947. Ketika itu, wilayah Jammu dan Kashmir menjadi rebutan utama antara dua negara baru merdeka, India dan Pakistan. Maharaja Jammu dan Kashmir, seorang Hindu, memutuskan untuk menyertai India selepas pencerobohan oleh militan dan kumpulan pro-Pakistan yang ingin wilayah itu bergabung dengan Pakistan. India mendakwa wilayah itu secara sah menjadi sebahagian daripada mereka berdasarkan perjanjian Instrument of Accession yang ditandatangani Maharaja Hari Singh, manakala Pakistan pula menuntut Kashmir berdasarkan majoriti penduduk Muslim di wilayah tersebut.
Sejarah Pembahagian India dan Pakistan
Pembahagian India berlaku serentak dengan kemerdekaan India dan Pakistan pada 15 Ogos 1947. Ia adalah hasil keputusan pihak British melalui Akta Kemerdekaan India 1947, yang membubarkan Empayar British India dan membahagikan wilayah itu kepada dua negara merdeka: India dan Pakistan. Pelaksanaan pembahagian ini dirancang oleh British, khususnya Viceroy (pegawai tinggi) terakhir British India, Lord Louis Mountbatten, yang mengumumkan rancangan pembahagian pada 3 Jun 1947.
Tujuan utama pembahagian adalah untuk mengatasi ketegangan yang semakin meningkat antara komuniti Hindu dan Muslim di India British. British menggunakan dasar “divide and rule” yang secara tidak langsung memperkuat perpecahan antara kedua-dua komuniti ini, memudahkan mereka mengawal wilayah jajahan dengan mengelakkan perpaduan nasionalis yang boleh mengancam kuasa mereka. Pembahagian dibuat berdasarkan majoriti agama di wilayah tertentu. Wilayah majoriti Muslim seperti Punjab Barat dan Bengal Timur diberikan kepada Pakistan, manakala wilayah majoriti Hindu pula diberikan kepada India.
Namun, pembahagian ini bukan semata-mata hasil kehendak British sahaja, tetapi juga kerana tuntutan pemisahan oleh Liga Muslim India yang dipimpin oleh Muhammad Ali Jinnah. Beliau bimbang terhadap hak dan kepentingan umat Islam akan terabai dalam sebuah India yang didominasi Hindu selepas kemerdekaan. Oleh itu, Pakistan diwujudkan sebagai negara berasingan pada 14 Ogos 1947 untuk umat Islam India.
Majoriti Muslim dan Garisan Kawalan (LoC): Punca Pertikaian.
Secara undang-undang, Kashmir dianggap sebagai wilayah India berdasarkan perjanjian Instrument of Accession yang ditandatangani Maharaja Jammu dan Kashmir. Namun, status Kashmir kekal dipertikaikan kerana majoriti penduduknya ialah Muslim dan Pakistan menuntut wilayah itu sebagai sebahagian daripada negara mereka. Selepas pencerobohan militan pro-Pakistan dan campur tangan tentera Pakistan, perang pertama antara India dan Pakistan meletus pada tahun 1947-1948.
Perang ini berakhir dengan gencatan senjata pada 1949 yang menetapkan Garis Kawalan (Line of Control, (LoC)) sebagai sempadan de facto antara kawasan Kashmir yang dikuasai India dan Pakistan. LoC bukan sempadan antarabangsa yang diiktiraf secara rasmi, tetapi menjadi sempadan fizikal yang memisahkan wilayah tersebut.
Gencatan Senjata dan Ketegangan Berterusan
Walaupun gencatan senjata antara India dan Pakistan di Kashmir masih berkuat kuasa, insiden pelanggaran dan ketegangan kecil sering berlaku, terutamanya selepas serangan pengganas di Pahalgam pada April 2025. Insiden ini mencetuskan tindak balas ketenteraan India dan keruncingan konflik termasuk serangan misil dan balasan dari Pakistan. Setelah beberapa hari pertempuran sengit, gencatan senjata dipersetujui dengan penglibatan diplomatik Amerika Syarikat, namun ketegangan dijangka berterusan. Hal ini kerana status LoC yang menjadi sempadan de facto di Kashmir tidak dimuktamadkan secara rasmi oleh kedua-dua negara dan komuniti antarabangsa.
Kedudukan China dalam Konflik Kashmir
Selain India dan Pakistan, China juga terlibat secara tidak langsung dalam konflik Kashmir. China menguasai sekitar 15-20% wilayah Kashmir, termasuk kawasan Aksai Chin dan Lembah Shaksgam, yang merupakan sebahagian daripada wilayah yang dipertikaikan. Kawasan ini bukan berada dalam LoC antara India dan Pakistan, tetapi dipisahkan oleh Garis Kawalan Sebenar (Line of Actual Control (LAC)), sempadan de facto antara India dan China selepas Perang Sino-India 1962.
Oleh sebab itu, ketegangan di sepanjang LAC juga sering berlaku, termasuk pertempuran berdarah seperti insiden Lembah Galwan pada tahun 2020 yang mengorbankan tentera dari kedua-dua pihak. Walaupun terdapat perjanjian gencatan senjata dan rundingan, LAC kekal sebagai kawasan yang sangat sensitif dan sering menjadi titik konflik antara India dan China.
Dalam masa yang sama, kepentingan ekonomi dan strategik China di rantau ini semakin meningkat, terutama dengan projek Koridor Ekonomi China-Pakistan (CPEC) yang melibatkan wilayah Kashmir yang dipertikaikan. Projek ini bukan sahaja mempererat hubungan a
ntara China dan Pakistan tetapi turut memperluas pengaruh China di kawasan yang strategik ini.
Justeru, naratif sedemikian jelas menunjukkan sebab China dilihat tidak terlibat dalam konflik an
tara India dan Pakistan, terutamanya dalam insiden Pahalgam sebelum ini.
Perbezaan antara LoC dan LAC
LoC (Line of Control): Garis kawalan antara India dan Pakistan di Kashmir, hasil gencatan senjata selepas perang 1947-1948. LoC memisahkan wilayah Kashmir yang dikuasai India dan Pakistan.
“LAC (Line of Actual Control): Garis kawalan antara India dan China yang terhasil selepas gencatan senjata selepas Perang Sino-India 1962, terutamanya di kawasan yang dipertikaikan seperti Aksai Chin, yang dikuasai oleh China.
Kesimpulan
Konflik Kashmir adalah hasil daripada pembahagian India British yang kompleks dan tidak me
nyelesaikan isu-isu utama seperti status wilayah Kashmir. Walaupun secara undang-undang Kashmir adalah sebahagian daripada India, tuntutan Pakistan berdasarkan majoriti penduduk Muslim dan campur tangan ketenteraan menyebabkan pertikaian yang berlarutan sehingga kini.
Seterusnya, gencatan senjata antara India dan Pakistan menetapkan LoC sebagai sempadan de facto, tetapi ia bukan sempadan rasmi dan sering menjadi medan ketegangan dan konflik. China pula menguasai sebahagian wilayah Kashmir yang dipertikaikan, menambah dimensi geopolitik kepada konflik ini melalui sokongan strategik kepada Pakistan dan ketegangan di sepanjang LAC dengan India.
Sehubungan dengan itu, artikel ini merumuskan bahawa konflik Kashmir, yang melibatkan tiga negara dengan kepentingan dan sempadan yang berbeza, merupakan isu yang amat kompleks dan sukar diselesaikan. Justeru, Global Peace Mission (GPM) Malaysia menyeru agar komuniti antarabangsa memainkan peranan sebagai mediator dalam usaha mencari penyelesaian kepada konflik yang masih belum menemui jalan penyelesaian ini.
Penulis: READ