Sekatan Bantuan Kemanusiaan Punca Kemarahan Dunia: Impak pada Usaha Kemanusiaan di Gaza
Krisis kemanusiaan di Gaza kini berada pada tahap paling kritikal dalam sejarah moden. Sejak serangan Israel pada Oktober 2023, lebih dua juta rakyat Palestin terperangkap dalam kepungan yang menyekat hampir semua bentuk bantuan kemanusiaan. Sekatan ketat Israel, khususnya terhadap lori bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), telah mencetuskan kemarahan global dan mendorong pelbagai usaha solidariti antarabangsa termasuk melalui laut dan darat. Sekatan ini mengakibatkan kebuluran, kekurangan ubat-ubatan, dan kemusnahan infrastruktur asas.
Walaupun pelbagai usaha solidariti antarabangsa telah dilakukan untuk memecahkan sekatan ini, dunia seolah-olah masih membisu, gagal bertindak segera untuk menamatkan penderitaan rakyat Palestin, khususnya di Gaza.
Kerem Shalom: Pintu Gerbang Kemanusiaan yang Disekat
Lintasan sempadan Kerem Shalom di selatan Gaza merupakan satu-satunya pintu masuk yang dibuka untuk laluan lori bantuan kemanusiaan dari Israel. Laluan ini dikawal ketat oleh pihak berkuasa Israel. Selepas hampir 90 hari penutupan penuh, Israel membuka semula laluan ini secara terhad sejak Mei 2025, membenarkan hampir 400 buah lori bantuan memasuki Gaza. Lori-lori tersebut membawa makanan, tepung, susu bayi, ubat-ubatan, dan bahan bakar.
Namun begitu, hanya sekitar 115 buah lori sahaja yang benar-benar dibenarkan masuk ke Gaza, jumlah yang jelas jauh daripada keperluan sebenar penduduk Gaza pada masa ini. Walaupun jumlah ini sudah melepasi prosedur pemeriksaan yang ketat, banyak keperluan asas seperti bahan bakar dan peralatan perubatan masih sangat terhad kemasukannya. Keadaan ini menyebabkan keperluan hospital di Gaza berada pada tahap paling kritikal kerana tidak mampu menampung keperluan jutaan penduduk yang bergantung kepada bantuan tersebut. Kegagalan menyalurkan bantuan asas sebegini yang menjadi punca kemarahan rakyat Gaza serta desakan masyarakat antarabangsa.
Kemarahan Global Mendorong Usaha Alternatif
Apabila saluran bantuan utama disekat, masyarakat antarabangsa tidak berdiam diri, mendorong kepada usaha-usaha kemanusiaan yang lebih berani:
- Usaha di Laut: Kapal Madleen dan Freedom Flotilla Coalition (FFC)
Salah satu usaha paling berani dan terkini adalah melalui Freedom Flotilla Coalition (FFC) yang menghantar kapal bantuan kemanusiaan Madleen dari Sicily, Itali. Kapal ini membawa bekalan penting seperti beras dan susu formula bayi serta diiringi 12 aktivis antarabangsa, termasuk Greta Thunberg.
Namun, pada 9 Jun 2025, tentera Israel menaiki kapal tersebut di perairan antarabangsa, menahan semua kru dan menyita kargo bantuan. Empat aktivis, termasuk Greta Thunberg, telah dideportasi secara sukarela, manakala yang lain masih dalam tahanan Israel. Israel mempertahan sekatan laut tersebut atas alasan memasuki perairan mereka secara haram dan mendakwa misi tersebut hanya ingin mencari publisiti murahan, walaupun tindakan Israel ini jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan hak kemanusiaan. Peristiwa ini bukan sahaja menggambarkan kekejaman sekatan laut Israel, malah menunjukkan bagaimana suara solidariti antarabangsa cuba ditindas secara paksa.
- Usaha di Darat: Konvoi Soumoud dari Negara-negara Maghrib
Apabila usaha di laut disekat, solidariti rakyat Palestin beralih ke darat. Pada 9 Jun 2025, anggaran seramai 1,500 aktivis dari Tunisia, Algeria, Maghribi, Libya, dan negara-negara Maghrib lain melancarkan konvoi besar bernama “Soumoud” (Ketabahan). Konvoi ini melibatkan sekurang-kurangnya 100 buah kenderaan, termasuk bas dan kereta persendirian, bergerak dari Tunis menuju ke Gaza melalui Libya dan Mesir. Konvoi ini wujud sebagai manifestasi kemarahan terhadap sekatan bantuan yang dilakukan lebih-lebih lagi terhadap misi Freedom Flotilla saat ini.
Konvoi tersebut bukan sekadar membawa bantuan fizikal, malah juga menyampaikan mesej solidariti yang kuat dan menuntut dunia membuka mata terhadap penderitaan rakyat Gaza yang kini mencecah lebih daripada 54,000 nyawa yang terkorban sejak Oktober 2023. Perjalanan mereka merentasi Tunisia, Libya, dan Mesir menuju ke sempadan Rafah yang merupakan satu-satunya pintu masuk darat ke Gaza yang tidak dikawal sepenuhnya oleh Israel secara langsung.
Konvoi ke Rafah Menjadi Pilihan
Sempadan Rafah dipilih sebagai laluan utama bantuan kemanusiaan ke Gaza kerana kedudukannya yang menghubungkan Gaza secara langsung dengan Mesir, berbeza dengan negara jiran lain seperti Jordan dan Lubnan yang memerlukan laluan melalui wilayah haram Israel secara langsung. Selain itu, sempadan Rafah berada di bawah autoriti Mesir, walaupun tidak dinafikan Israel masih mempunyai pengaruh di kawasan tersebut. Sebagai contoh, pada Mei 2024, Israel menyekat bantuan kemanusiaan di sempadan tersebut, namun setelah rundingan dilakukan melibatkan Mesir dan Israel, kemudiannya membolehkan sempadan dibuka semula dengan kapasiti terhad.
Naratif tersebut menjadikan sempadan Rafah sebagai pintu masuk penting bagi penghantaran bantuan serta pergerakan penduduk Gaza ke dunia luar, yang tidak dapat dilakukan secara langsung melalui sempadan Israel, Kerem Shalom.
Selain itu, konvoi darat membolehkan penyertaan ramai peserta dari pelbagai latar belakang untuk menunjukkan solidariti secara nyata bertujuan membuka sempadan Rafah secara lebih luas, fleksibel dan berterusan bagi membenarkan bantuan kemanusiaan dan evakuasi perubatan.
Dunia Masih Membisu: Kegagalan Global Menghentikan Penderitaan
Dari laut hingga darat, usaha memecahkan sekatan ke Gaza telah dilakukan dengan keberanian dan ketabahan luar biasa. Namun, dunia masih gagal bertindak tegas untuk menghentikan penderitaan rakyat Palestin. Sekatan Israel yang berterusan, sokongan politik dan ketidaktentuan tindakan negara-negara besar, serta kepentingan geopolitik yang rumit menyebabkan penderitaan Gaza seolah-olah diabaikan. Konvoi-konvoi bantu
an yang disekat, lori-lori bantuan yang tertangguh, dan sempadan yang dikawal ketat adalah simbol kegagalan masyarakat antarabangsa dalam menegakkan keadilan dan kemanusiaan.
Kesimpulan
Usaha memecahkan sekatan dan menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Gaza telah dilakukan dengan pelbagai cara; kapal Madleen yang disita Israel, aktivis yang ditahan dan dideportasi, serta ribuan peserta konvoi Soumoud yang berarak ribuan kilometer melalui Tunisia, Libya, dan Mesir ke Rafah. Semua ini menunjukkan satu mesej jelas iaitu “solidariti tidak akan padam walaupun dinding sekatan cuba menghalang”.
Hal demikian kerana isu Palestin bukan lagi berlegar dalam kerangka geopolitik semata-mata, malah juga merupakan isu kemanusiaan dan keadilan yang memerlukan tindakan nyata dan keberanian moral dari seluruh penduduk dunia. Setelah sekatan demi sekatan dari laut ke darat masih dikenakan, sudah tiba masanya dunia khususnya negara majoriti Muslim membuka mata dan hati untuk membantu Palestin dengan segala cara yang mungkin, bukannya terus terperangkap dalam perdebatan remeh seperti soal boikot. Sementara masyarakat Eropah telah bergerak jauh dan sanggup mempertaruh nyawa demi keadilan.
Namun, jika dunia masih tidak nampak kebenaran dan kezaliman yang menimpa rakyat Palestin, dan masih membisu, maka sukar untuk berkata apa lagi yang boleh dilakukan selain terus menyaksikan penderitaan yang berterusan, dan inilah “Nakbah” yang sebenar.
Penulis: Read