Dakwah dan Kemanusiaan: Merentasi Dedikasi, Risiko dan Impak Sosial

Hari Kemanusiaan Sedunia yang disambut pada 19 Ogos setiap tahun bukan sekadar hari peringatan, tetapi ia juga untuk menghargai dan mengiktiraf petugas kemanusiaan yang bekerja di zon konflik dan peperangan. Tarikh tersebut dipilih untuk memperingati tragedi pengeboman di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Baghdad pada tahun 2003, yang mengorbankan 22 orang petugas kemanusiaan termasuk Sergio Vieira de Mello, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia. Ia juga bertujuan menyanjung jasa dan pengorbanan mereka. Hari ini, dunia masih bergelut dengan krisis kemanusiaan, ada pihak yang menindas hak asasi manusia, membiarkan mangsa-mangsa kebuluran, serta menyerang dan membunuh golongan lemah.

Sesi Sembang Santai sempena Hari Kemanusiaan Sedunia pada 19 Ogos 2025 yang dianjurkan oleh Global Peace Mission (GPM) Malaysia dengan kerjasama Outreach Oasis Bukit Bintang (OOBB) di Outreach Coffee Bukit Bintang yang bertajuk “Dakwah dan Kemanusiaan: Merentasi Dedikasi, Risiko dan Impak Sosial” disampaikan oleh Tuan Adli Zakuan Bin Zairakithnaini. Sesi ini bertujuan untuk menghayati cabaran dan rintangan dari sudut emosi dan fizikal serta menghargai petugas kemanusiaan yang senantiasa bersedia untuk berkhidmat di barisan hadapan.

Kata Tuan Adli semasa sesi tersebut sambil menghurai ayat 74, surah al-Anfal, “mereka yang beriman, berhijrah, berjihad dan yang membantu untuk ketiga-ketiga perkara tersebut, akan dikurniakan maghfirah (keampunan), dan inilah golongan mukminul haqqa iaitu sebaik-baik mukmin yang tidak hanya berjihad dan berhijrah tetapi mereka juga yang memberi pertolongan dan perlindungan”. Beliau menambah bahawa kerja-kerja kemanusiaan yang diusahakan oleh GPM bukan sahaja membantu masyarakat, tetapi juga membantu diri sendiri untuk mencapai mukminul haqqa yang disebutkan di dalam al-Quran.

GPM adalah sebuah organisasi kemanusiaan yang berperanan dalam membantu kerja-kerja kemanusiaan seperti mengumpul dana, melaksanakan kempen kesedaran untuk masyarakat, memberikan bantuan kecemasan serta menghantar petugas kemanusiaan untuk mengagihkan bantuan secara langsung di kawasan yang terlibat. Petugas kemanusiaan yang berkhidmat dalam dunia misi kemanusiaan ini, bukan hanya menambah nilai dalam prestasi diri tetapi mereka juga perlu menghadapi risiko yang tinggi terutamanya ketika berkhidmat di lapangan. Seperti yang diperkatakan oleh Tuan Adli, “GPM memainkan peranan yang sangat penting dan besar dalam misi kemanusiaan”.

Memperjuangkan isu kemanusiaan, seperti dasar baharu untuk pelarian, bukanlah perkara mudah. Usaha jangka panjang ini memerlukan persediaan yang rapi serta perbincangan yang rumit dan teliti. Penyediaan dasar perundangan baharu bagi pelarian adalah penting juga untuk membantu negara mengurangkan masalah sosial dalam kalangan masyarakat. Badan-badan yang memperjuangkan hak kemanusiaan ini berfungsi sebagai ejen untuk mencapai tujuan tertentu, namun hasil dan keputusannya perlu diserahkan kepada Allah SWT. Begitu juga dengan tugas pendakwah sebagai ejen yang melakukan gerak kerja dakwah, tugas mereka hanya menyampaikan; hidayah dan penerimaan bukan tanggungjawab pendakwah.

Kerjaya petugas kemanusiaan adalah sebuah kerjaya yang murni, mempersiapkan diri dengan niat ikhlas, empati dan sabar, tanpa mengejar populariti mahupun pangkat. Dedikasi yang dizahirkan oleh petugas kemanusiaan adalah mengusulkan pembaharuan dasar demi kebajikan pelarian dengan memperjuangkan akses mereka kepada keadilan, pendidikan, kesihatan, pekerjaan, keselamatan dan maruah sosial.

Usaha yang dilakukan oleh petugas kemanusiaan memberi impak yang positif iaitu memperkasakan golongan yang dipinggirkan, memberi kesedaran kepada masyarakat awam serta meninggalkan hasil usaha advokasi untuk generasi yang akan datang. Ia juga dilihat sebagai dakwah praktikal (dakwah bil hal) iaitu menegakkan keadilan, menolong yang lemah dan menyantuni pelarian. Setiap usaha adalah sebahagian daripada ibadah, meskipun hasilnya tidak selalu segera terlihat.

Kesimpulannya, dakwah dan kemanusiaan menuntut dedikasi tanpa jemu, walaupun penuh risiko dan cabaran yang perlu dihadapi. Selain itu, impak sosial mungkin mengambil masa, tetapi akan memberi manfaat besar pada masyarakat. Kekuatan kerja kemanusiaan terletak pada konsistensi, ikhlas, sabar, dan keyakinan bahawa setiap usaha ialah amanah dakwah yang dijanjikan ganjaran yang setimpal.

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Email

Latest News

Caruman Bulanan Qurban 2021

Ibadah Qurban kini lebih mudah dengan hanya satu klik! Malaysia For Syria (MFS) kini membuka peluang kepada anda yang ingin...

MALAYSIA GESA ICJ PERJELASKAN KEWAJIPAN ISRAEL DI WILAYAH PALESTIN YANG DIDUDUKI

Pada sesi pendengaran awam di ICJ yang berlangsung di The Hague dari 28 April sehingga 2 Mei, Malaysia sekali lagi...

Peperangan Di Syria: Apa Kata Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC)

Status Syria dalam OIC Tahun 2012 merupakan tahun bersejarah di mana keahlian Syria telah digugurkan daripada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC)...