Antara Sijil, Pendidikan Dan Pembangunan Tamadun

By: Danish Nazran bin Murad

 

Hangat tempoh hari apabila ada pempengaruh media sosial(influencer) mengatakan “sekolah ini tiada value(nilai), kosong”. Lantas, perkara ini menjadi perdebatan dalam kalangan pengguna maya yang rata-rata tidak bersetuju mengenai kenyataan ini. Perkara ini amat membimbangkan kerana beliau bukanlah influencer pertama yang mengeluarkan sedemikian secara langsung dan perkara ini mampu menjadi barah yang membunuh pembangunan umat dan tamadun manusia. Isu ini dihangatkan lagi beberapa hari kemudian apabila ada seorang guru yang menceritakan apabila hampir satu kelas mendapat markah kosong dalam subjek  sejarah kerana murid murid di situ rata-rata mahu menjadi influencer. Rentetan isu ini, golongan cendekiawan dan cerdik pandai perlu bangkit dalam menyedarkan semula generasi muda yang semakin terjerumus dalam pemikiran material dan kemahsyuran maya yang hanya datang dan pergi dalam sekelip mata.

Dalam lipatan sejarah dunia, kita telah disajikan dengan dengan kewujudan pelbagai tamadun Timur dan Barat namun begitu adakah kita perhatikan apa yang memicu kepada kewujudan sesebuah tamadun itu sehingga ia berada di puncak kuasa. Sesebuah tamadun itu berada di puncak kuasa melalui tiga pintu utama di mana salah satunya pintu keilmuan. Tamadun Yunani telah berada dalam pentas dunia melalui keilmuan falsafah yang mereka ajarkan kepada setiap generasi. Institusi keilmuan juga banyak didirikan seperti Akademia yang diasaskan Plato dan juga Lyceum yang didirikan oleh Aristotle menjadi wadah penyampaian ilmu falsafah yang dipenuhi oleh generasi muda bagi meneruskan legasi keilmuan dan didikan. Jika pada waktu tersebut generasi mereka hanya melihat kepada mahsyurnya menjadi seorang pemain teater di Athens, maka tidak lahirlah karya-karya Plato dan Aristotle mahupun tercetusnya formula Teorem Pyhtagoras. Dapat dilihat disini, pendidikan berperanan sebagai saluran utama untuk meneruskan pengetahuan dari satu generasi ke generasi seterusnya. Ia merangkumi nilai-nilai, budaya, dan ilmu pengetahuan yang telah dibangunkan oleh tamadun sebelumnya. Dengan pendidikan, manusia dapat mewarisi dan memperkembangkan pencapaian tamadun terdahulu serta membangunkan tamadun yang lebih gah daripada sebelumnya.

Mungkin pada tafsiran influencer tersebut, kenyataan itu bersifat mengkritik sistem pendidikan tetapi penulis beranggapan kenyataan tersebut bukanlah mengkritik sistem tetapi keseluruhan institusi. Kenyataan yang dikeluarkan ini barangkali adalah sebuah kejahilan mahupun mendapatkan publisiti secara murahan kerana secara terang-terangan menuduh sekolah sebagai sebuah institusi yang tiada guna. Hal ini kerana sekolah merupakan sebuah institusi yang zaman berzaman kewujudannya diiktiraf dalam membangunkan perkembangan diri individu mahupun sesebuah negara. Seiring berjalannya waktu, institusi ini telah distruktur mengikut kurikulum dan sukatan pembelajaran berdasarkan kepada pihak yang bertanggungjawab dalam menyelia bidang pendidikan dalam sesebuah negara. Penstrukturan ini dilakukan adalah sebagai kaedah dalam membangunkan modal insan dalam sesebuah negara. Ianya terbukti membantu membangunkan kemahiran, kebolehan, dan potensi individu untuk menyumbang kepada masyarakat. Melalui lembaran sejarah, tokoh-tokoh Islam seperti Al-Jazari yang mencipta jam air dan juga beberapa pereka cipta daripada Barat seperti Leonardo Da Vinci dan sebagainya, mereka semua ini bermula dengan pendidikan yang baik lantas menyumbang keilmuan yang dimiliki kepada kepentingan masyarakat dan tamadun. Lantas, penulis berasa agak canggung dalam menilai kenyataan influencer tersebut yang boleh dikatakan agak mengjengkelkan. Melalui pendidikan, manusia memperoleh kemahiran kritis, kreatif, dan inovatif yang penting dalam menangani cabaran semasa dan membina masa depan yang lebih baik.

 

Latest News

READ is a department that is responsible for conducting research, developing new insight from any humanitarian issues, processes, project and advocacy for Global Peace Mission Malaysia..
Copyright © 2024 All Rights Reserved. Research & Advocacy Development (PPAB-19/2009)