Realiti Angka Pelarian Hari Ini

Setiap 20 Jun, dunia kemanusiaan menginsafi Hari Pelarian Sedunia iaitu sebuah deklarasi yang diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun 2001. Tarikh ini dipilih bagi menghormati keberanian jutaan individu yang terpaksa meninggalkan tanah air mereka akibat konflik, penganiayaan dan diskriminasi. Hari ini juga menandakan ulang tahun ke-50 Konvensyen Pelarian 1951 iaitu sebuah dokumen antarabangsa yang menetapkan hak serta perlindungan kepada para pelarian.

Tujuan utama Hari Pelarian Sedunia adalah untuk meningkatkan kesedaran global terhadap penderitaan golongan pelarian serta menggalakkan solidariti dan tindakan kolektif demi melindungi hak-hak mereka. Mereka bukan sahaja kehilangan tempat tinggal, malah turut berdepan dengan risiko keselamatan dan pelbagai cabaran dalam usaha membina kehidupan baharu.

Siapakah Pelarian dan IDP?

Penting untuk memahami perbezaan antara pelarian (refugee) dan pelarian dalam negara (internally displaced person – IDP). Pelarian adalah individu yang melarikan diri dari negara asal mereka dan merentasi sempadan antarabangsa untuk mendapatkan perlindungan. Manakala, IDP pula adalah individu yang terpaksa berpindah, namun masih berada dalam sempadan negara asal.

Meskipun kedua-dua kumpulan ini menghadapi pelbagai cabaran, pelarian antarabangsa memperoleh perlindungan yang lebih jelas melalui mandat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Data Terkini Pelarian Dunia 2025

Menurut laporan UNHCR sehingga April 2025, jumlah individu yang terpaksa meninggalkan kediaman mereka telah mencecah seramai 122.1 juta orang di seluruh dunia. Angka ini merangkumi:

  • 7 juta pelarian antarabangsa yang berdaftar di bawah mandat UNHCR.
  • 5 juta pelarian dalam negara (IDP) akibat konflik dan penganiayaan.
  • 4 juta pencari suaka yang sedang menunggu keputusan permohonan perlindungan.
  • 4 juta individu tanpa kewarganegaraan yang terpinggir daripada hak-hak asasi.

Negara Tuan Rumah Pelarian Antarabangsa dengan Jumlah Yang Tertinggi

  • Turkiye kekal sebagai negara tuan rumah tertinggi sejak sedekad lalu dengan lebih daripada 4 juta pelarian, dan majoritinya dari Syria.
  • Jerman menerima sekitar 2.5 juta pelarian yang terdiri daripada warga Ukraine, Syria dan beberapa negara konflik lain.

Negara dengan Jumlah Pelarian Antarabangsa Tertinggi

  • Afghanistan mencatat lebih 3.9 juta, dan majoritinya di Iran dan Pakistan.
  • Syria merekod lebih 6.25 juta pelarian di seluruh dunia, dan majoritinya di Turkiye.

Negara dengan Jumlah IDP Tertinggi

  • Sudan kini mencatat jumlah IDP tertinggi di dunia iaitu sekitar 14.3 juta orang, akibat konflik bersenjata yang berlarutan sejak tahun 2023. Angka ini menjadikan Sudan mengatasi Syria, yang mempunyai sekitar 13.5 juta IDP.
  • Afghanistan dan Ukraine turut mencatat angka IDP yang tinggi, masing-masing sekitar 10.3 juta dan 8.8 juta orang.

Faktor Penyumbang kepada Krisis Pelarian

Terdapat beberapa faktor utama yang menyumbang kepada krisis pelarian iaitu peperangan, penganiayaan etnik, ketidakstabilan politik dan keganasan. Sebagai contoh Perang di Sudan antara tentera kerajaan dan Pasukan Sokongan Pantas (Rapid Support Forces (RSF) telah menyebabkan jutaan rakyat kehilangan tempat tinggal. Seterusnya, perang saudara di Syria sejak tahun 2011 telah mencetuskan gelombang pelarian ke negara-negara jiran dan negara Eropah. Selain itu, diskriminasi etnik Rohingya di Myanmar yang berlarutan sehingga kini turut memburukkan lagi keadaan kemanusiaan sejagat.

Situasi Pelarian di Malaysia

Sehingga Mei 2025, Malaysia menempatkan kira-kira 200,260 pelarian dan pemohon suaka yang berdaftar dengan UNHCR. Anggaran 64% daripada jumlah tersebut adalah lelaki, dan 36% adalah wanita, serta lebih 29% daripada peratusan tersebut adalah kanak-kanak di bawah usia 18 tahun. Majoriti mereka berasal dari etnik Rohingya dengan jumlah seramai 117,670 pelarian.

Namun, perlu diambil maklum bahawa Malaysia belum meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951. Hal ini sekali gus menimbulkan pelbagai cabaran dalam pemberian hak serta perlindungan yang komprehensif kepada pelarian di negara ini. Juga, isu ini termasuk soal kesedaran dan keprihatinan terhadap pelarian sehingga mencetuskan sikap rasis dan xenofobia yang tebal dalam sebahagian masyarakat di negara ini.

Kesimpulan

Jumlah pelarian dan IDP global kini berada pada tahap tertinggi dalam sejarah moden dengan nisbah iaitu lebih seorang daripada setiap 67 orang di dunia terpaksa melarikan diri akibat krisis yang berlaku. Sehubungan itu, tema Hari Pelarian Sedunia tahun ini, iaitu ‘Solidariti Bersama Pelarian’, menjadi peringatan penting tentang keperluan mendesak untuk memperkukuh semangat solidariti dan melaksanakan tindakan global demi melindungi hak pelarian serta mencari penyelesaian damai yang lestari.

Penulis: READ

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Email

Latest News

#Kemaskini : KAMPUNG SYRIAN AL-HAYAH

Dermawan Malaysia For Syria (MFS) yang budiman, Lihatlah perkembangan kampung yang sedang kita bina di Al-Bab Syria. InsyaAllah kampung ini...

Membangunkan Syria Dari Sudut Sosiologi

Nasib yang menimpa rakyat Syria Di anak tirikan di negara sendiri, dilayan seperti pengemis di negara orang. Itulah pengertian sebenar...

“Hipotermia” pada musim sejuk mengakibatkan kematian

“Dalam tempoh dua bulan, sekurang-kurangnya 29 kanak-kanak telah mati dalam kem pelarian atau ketika melarikan diri ke kem di Syria.”...