SELEPAS hampir 54 tahun dibelenggu pemerintahan kuku besi regim Assad dan parti Ba’ath, rakyat Syria akhirnya meraikan kemenangan dengan memulakan lembaran baru bagi negara tersebut pada 8 Disember tahun lalu. Namun kebebasan ini bukan datang tanpa harga, susulan lebih 620,000 nyawa dilaporkan terkorban atau hilang akibat konflik berdarah sejak bertahun lamanya.
Ditengah-tengah suasana pasca-perang yang penuh luka dan harapan, Global Peace Mission (GPM) Malaysia yang diwakili Datuk Paduka Maharajalela Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini dan Salman menyantuni rakyat Syria di perkampungan berkenaan dengan menghantar sumbangan selain mengadakan pertemuan strategik bersama pemimpin setempat dan aktivis masyarakat.
Perjalanan bermula dari sempadan Jaber ar Sirhan iaitu sekitar satu jam dari ibu kota Jordan, Amman dan ia merupakan kunjungan pertamanya ke Syria berbeza dengan Salman yang sudah berpengalaman. Tentunya ia mengundang pelbagai tanda tanya, apatah lagi kunjungan tersebut selepas empat bulan Syria berwajah baru, bebas dan merdeka daripada cengkaman regim terdahulu.
Sisa kebinasaan dapat dilihat di mana-mana. Di sebalik kibaran bendera baru Syria, sisa runtuhan bangunan, kesan bedilan bom, tembakan daripada kereta kebal dan senjata berat masih tidak dapat dilenyapkan.
Kembara ke bumi Syria sememangnya menginsafkan malah membuatkannya berfikir betapa rapuhnya nilai kemanusiaan jika ia jatuh ke tangan pemimpin yang ingin terus kekal berkuasa dan tidak mengendahkan nyawa dan rintihan rakyatnya sendiri.
Kunjungan ke Kampung Malaysia Syrian al Hayah
Antara misi utamanya GPM adalah untuk mengadakan kunjungan ke sebuah perkampungan Malaysia yang terletak di al-Bab, utara Syria bagi memberikan sumbangan kepada hampir 100 keluarga Syria dan meninjau kelangsungan hidup mereka.
Kampung ini terbina hasil daripada keprihatinan sumbangan rakyat Malaysia melalui projek Wakaf Kampung Malaysia Syrian al-Hayah yang digerakkan oleh beberapa petubuhan bukan kerajaan (NGO) khususnya GPM.
Dengan adanya sedikit sumbangan maka perkampungan berkenaan dapat membantu rakyat Syria yang daif dan serba tertindas mendapat rumah yang berbumbung selain penyediakan bekalan asas seperti elektrik, air, telaga, sanitasi dan kemudahan sekolah Jasmine as Syams kepada anak-anak.
Memang jelas terpancar wajah keriangan kepada kanak-kanak Syria ini sebaik sahaja tiba, mungkin mereka tahu bahawa apabila ada pengunjung luar yang tiba pastinya ada sedikit bantuan yang dapat dinikmati mereka yang tentunya dapat meringankan beban.
Ada anak kecil yang seperti tidak mahu melepaskan tangannya seperti mahu bermanja dan mengharapkan perhatian.
Kemudahan yang ada di perkampungan ini sememangnya jauh dari mencukupi, mereka masih memerlukan bantuan.
Sememangnya bantuan daripada rakyat Malaysia yang prihatin sangat dialu-alukan, bantuan yang mungkin bagi kita kecil, tetapi cukup bermakna buat mereka.
Sumber asal: Sinar Harian